Astro Shaw

Press Release
Amir & Loqman Pergi Ke Laut Bakal Menggegar Pawagam

9 September 2014

Amir & Loqman Pergi Ke Laut Bakal Menggegar Pawagam

Kuala Lumpur, 9 September 2014 - Astro Shaw sekali lagi menampilkan sutradara Mamat Khalid melalui sebuah filem komedi samseng “Amir & Loqman Pergi Ke Laut” (ADLPKL). Satu majlis sidang media dan tayangan perdana telah diadakan di Cathay Cineleisure, e@Curve Damansara pada 9 September 2014. ADLPKL merupakan filem ke-7 Mamat Khalid bersama Astro Shaw selepas beberapa kejayaan filem sebelumnya sama ada di pawagam mahupun filem festival seperti Zombi Kampung Pisang, Kala Malam Bulan Mengambang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah. 

ADLPKL yang bakal menemui penonton bermula 25 September ini menampilkan gabungan kali pertama dua pelakon komedi popular daripada dua kumpulan lawak berbeza, Shuk Balas dan Shuib Sepahtu. Kedua-dua pelakon komedi ini telah dicungkil bakat mereka melalui rancangan Raja Lawak dan terus popular menerusi pertandingan Maharaja Lawak Mega dan beberapa siri rancangan terbitan Astro. Antara pelakon lain yang tidak kurang hebatnya dalam membintangi filem ini ialah Soffi Jikan, Zarina Anjoulie, Kuni, Nadia Mustafar, Kazar dan Rashidi Ishak. Melihatkan barisan pelakon yang datang daripada pelbagai generasi, Astro Shaw cukup berkeyakinan dalam menerbitkan ADLPKL kerana kemampuan mereka dalam membawakan watak masing-masing serta memerlukan kebolehan tersendiri.

Bagi Mamat Khalid sendiri penghasilan filem ini adalah melalui permerhatiannya dalam filem-filem gengster di Malaysia. “Penonton Malaysia telah banyak didedahkan dengan cerita-cerita gengster tidak kira melalui filem tempatan ataupun antarabangsa. Namun begitu, adakah kita tahu di sebalik dunia gengster itu, juga terselit dengan pelbagai cerita kemanusiaan yang lain, termasuk kisah orang yang hendak keluar dan lari dari dunia gengster itu”. Menurutnya lagi kisah Amir & Loqman ini boleh dijadikan pedoman buat semua yang ingin menjadi gengster atau samseng dan sesungguhnya kehidupan mereka ini tidaklah selancar dan semenarik seperti yang digambarkan dalam filem-filem gengster. Mamat Khalid juga menyifatkan filem komedi samseng yang dipaparkan ini masih lagi releven kerana ia sangat menghiburkan dengan suka-duka penceritaan sambil diselangi kritikan sosial yang tajam.

Gayatri Su-lin Pillai, Pengurus Besar dan Penerbit Eksekutif Astro Shaw, menyifatkan kerjasama kali ini sebagai satu kolaborasi yang menarik kerana Mamat Khalid sendiri terkenal dengan menghasilkan filem-filem yang penuh dengan elemen komedi serta mampu menyentuh perasaan setiap penonton. “Saya percaya dengan keupayaan Mamat Khalid dalam menghasilkan filem yang berkualiti dari segi penceritaan melalui bentuk komedi supaya mudah diterima di kalangan penonton masa kini. Penampilan kali pertama Shuk dan Shuib dalam filem Astro Shaw adalah salah satu pembaharuan yang cuba diketengahkan bagi mendekatkan lagi filem ADLPKL dengan peminat filem tempatan sekaligus untuk memberikan nafas segar dalam filem ini.” 

Sementara Waris dan Mark Adam turut bergabung suara dalam menyanyikan lagu tema bagi filem ini. Video muzik lagu ciptaan DJ Fuzz dan lirik ditulis oleh Adeep Nahar berjudul “Sampai Bila” ini telah dilancarkan pada awal September yang lalu di RedBox Ria Sogo, Kuala Lumpur. Tahun 2014 merupakan tahun yang agresif buat Astro Shaw. Satu demi satu kejayaan baru dilakar. Setelah kejayaan The Journey yang muncul sebagai Kutipan Filem Tertinggi Di Malaysia, Astro Shaw muncul dengan filem Tamil kedua, Maindhan pada bulan Ogos yang lalu. Maindhan juga telah mencatat sejarah sebagai Filem Tamil Tempatan yang mendapat kutipan paling tinggi di Malaysia menandingi Appalam yang telah memegang rekod itu sejak hampir tiga tahun lalu. Filem arahan C. Kumaresan ini telah terbang jauh apabila berjaya menembusi pasaran Singapura dan India. 

Penutup tahun 2014 menyaksikan kisah lagenda terakhir, Lagenda Budak Setan 3; Kasyah yang sedang rancak ditayangkan sejak 11 September. Selepas ADLPKL, sebuah filem komedi arahan Prof. A. Razak Mohaideen, Mana Mau Lari akan menemui penonton pada 27 November ini. Menyusul pula filem Manisnya Cinta Di Cappadocia arahan Bernard Chauly akan ditayangkan pada 11 Disember dan pada 25 Disember ini sebuah filem arahan Nik Amir Nik Mustapha, Terbaik Dari Langit menjadi filem terakhir terbitan Astro shaw yang ditayangkan pada tahun 2014. Dalam pada itu juga, Astro Shaw sedang sibuk menjalani penggambaran filem terbaru di bawah arahan Ghaz Abu Bakar berjudul Polis Evo yang menampilkan gandingan mantap Zizan Razak dan Shaheizy Sam. Filem yang baru memulakan penggambaran juga ialah filem cinta tragik arahan Osman Ali berjudul Langit Cinta yang menemukan Nur Fazura dan Keith Foo sebagai teraju utama.

Untuk maklumat lanjut mengenai filem-filem terbitan Astro Shaw terutamanya ADLPKL, sila layari laman sesawang di ini: www.facebook.com/AstroShaw.

top