Astro Shaw

Press Release
Kolaborasi Hebat Dalam Manisnya Cinta Di Cappadocia

2 December 2014

Kolaborasi Hebat Dalam Manisnya Cinta Di Cappadocia

Global Station, Astro Shaw dan Red Films buat julung kalinya bergabung dalam menerbitkan sebuah filem romantik komedi “Manisnya Cinta Di Cappadocia” (MCDC) yang akan memulakan tayangan seluruh Malaysia 11 Disember ini. 

Filem yang diadaptasi dari novel hasil karya Anis Ayuni ini diarahkan oleh pengarah terkenal, Bernard Chauly. MCDC merupakan karya pertama Bernard Chauly yang berbentuk adaptasi novel selepas menghasilkan beberapa filem romantik komedi seperti “Gol & Gincu” yang ditayangkan pada tahun 2005, “Pisau Cukur” (2009) dan “Istanbul Aku Datang” (2012). Walaupun idea asal MCDC tidak datang daripada Bernard sendiri, namun penghasilan adaptasi dari novel Anis Ayuni ini membuktikan kreativiti dan kredibiliti beliau sebagai seorang pengarah dalam memahami intipati sesebuah penceritaan. 

Selain kolaborasi mantap daripada 3 penerbit terkenal, filem yang berdurasi 102 minit ini telah berjaya menggabungkan pelakon hebat lagi terkemuka, Nur Fazura dan Shaheizy Sam. Masing-masing mempunyai pengikut dan aura tersendiri yang mana keserasian mereka disuntik dengan lebih terperinci oleh Bernard Chauly bagi mendapatkan sebuah cerita yang sangat menghiburkan. MCDC juga dibintangi oleh barisan pelakon berkaliber seperti Faizal Hussein, Lisa Surihani, Eja, Rafidah Abdullah, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Normah Damanhuri, Zaibo, Aida Rahim dan ramai lagi. Selain Lembah Klang sebagai latar lokasi filem ini, produksi MCDC juga telah diterbangkan ke Cappadocia, sebuah lokasi yang romantik buat pasangan kekasih dengan kewujudan belon panas di tengah-tengah pemandangan indah di bumi Turki bagi menyiapkan penggambaran MCDC. 

Berkongsi cerita tentang pembikinan MCDC, Bernard berkata, “Lakonlayar oleh Rafidah Abdullah yang diadaptasi daripada karya Kak Anis Ayuni memang menjadi inspirasi utama saya dalam pembikinan filem ini. Selain itu, peluang bekerja dengan Nur Fazura untuk kali ketiga memang menjadi impian saya. Saya rasa kematangannya sebagai wanita Melayu melalui watak Ifti Liyana amat menonjol dalam filem ini, ditambah lagi dengan gandingan beliau bersama Lisa Surihani, Eja, Kak Ogy dan Zaibo sebagai sebuah keluarga. Ceritanya semakin menarik apabila beliau digandingkan dengan tiga lelaki yang hadir dalam hidupnya yang mana direalisasikan oleh Shaheizy Sam, Faizal Hussein dan Josiah Hogan. Saya amat bertuah kerana mendapat komitmen yang tak terhingga daripada semua pelakon sejak sesi latihan sehinggalah penggambaran berlangsung.” 

Selepas berpengalaman menjalani penggambaran di Turki untuk filem sebelumnya, Bernard semakin jatuh cinta dengan keindahan Turki dan mengambil peluang untuk mendapatkan visual-visual menarik bagi MCDC pula. “Kami menggunakan sepenuhnya peluang yang diperolehi daripada Turkish Tourism untuk kembali ke negara penuh bersejarah itu dengan menjalani penggambaran di Cappadocia dan Anatolia. Proses perfileman selama sebulan sangat lancar dan memuaskan dengan kerjasama tenaga produksi Malaysia dan Turki yang sangat baik. Saya juga berterima kasih kepada semua penerbit MCDC yang terlibat dalam memberi kepercayaan kepada saya bagi menghasilkan sebuah filem yang cukup manis ini. Saya amat berharap filem Manisnya Cinta di Cappadocia akan menjadi filem paling romantik 2014 dan dapat menyentuh hati Kak Anis Ayuni serta peminat novel Manisnya Cinta.” 

Bagi pihak Global Station, Datin Zaiton Muhd Jiwa selaku Penerbit menganggap dengan mengangkat novel Manisnya Cinta ke dalam bentuk layar lebar adalah satu pilihan yang tepat. “Jalan cerita novel itu sendiri sudah cukup menarik sekaligus memberi jaminan untuk kami membuat keputusan dalam mengangkat karya ini kepada bentuk filem. Manisnya Cinta adalah antara novel terlaris Anis Ayuni dan jalan ceritanya sangat mudah diterima penonton masa kini. Ditambah lagi dengan kreativiti Bernard Chauly, kami sangat berpuas hati dengan penghasilan filem ini,” ujar Datin Zaiton dengan lebih lanjut.

Tidak ketinggalan, Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar menjelaskan, kerjasama di antara Global Station, Astro Shaw dan Red Films itu sebagai kolaborasi yang mampu menghasilkan sebuah filem berkualiti lagi menghiburkan. Tambah Najwa lagi, “Kami menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada Bernard dalam mengadaptasi novel Manisnya Cinta ini kepada bentuk filem. Kemampuan beliau terbukti dengan penghasilan visual yang menarik serta jalan ceritanya yang cukup menghiburkan setiap penonton yang menonton filem ini.” 

Disamping itu, menurut Lina Tan pengasas Red Films, menyifatkan kolaborasi di antara semua pihak adalah amat penting. “Industri perfileman sekarang menghadapi pelbagai cabaran dan semua pihak perlu bersatu dan bekerjasama supaya boleh menerbitkan filem yang lebih bermutu untuk disajikan kepada penonton Malaysia,” kata Lina Tan. Ini merupakan kerjasama kedua Red Films bersama Astro Shaw selepas filem Kami Histeria dan yang pertama bersama Global Station.

Sempena tayangan filem MCDC ini, novel Manisnya Cinta telah diulang cetak oleh pihak Karangkraf dengan edisi istimewa dan sudah mulai dijual di kedai-kedai buku di seluruh Malaysia. Lebih istimewanya lagi, pihak produksi dengan kerjasama Karangkraf telah merencanakan beberapa sesi bertemu peminat di beberapa lokasi terpilih sepanjang bulan Disember ini.

top