Astro Shaw

Press Release
Langkah Antarabangsa Terbaik Dari Langit

9 December 2014

Langkah Antarabangsa Terbaik Dari Langit

9 Disember, PETALING JAYA - Terbaik Dari Langit (TDL) sebuah filem penutup 2014 buat Astro Shaw bakal memulakan tayangan di pawagam pada 25 Disember ini. Satu majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media diadakan di Cineleisure, e@Curve Damansara. Filem arahan Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 2013; Nik Amir Nik Mustapha ini menggabungkan barisan pelakon mantap dan disenangi di Malaysia seperti Bront Palarae, Iedil Putra, Amerul Affendi, Nadiya Nisaa, Megat Sharizal, Sharifah Amani dan Siti Saleha.

 

Apa yang menariknya tentang TDL, langkah pertama bermula di pentas antarabangsa apabila berjaya disenaraikan untuk bertanding dalam kategori Asian Future di Festival Filem Antarabangsa Tokyo baru-baru ini sekaligus mendapat tayangan perdana di festival berprestij itu. Pada majlis tayangan tersebut, TDL mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh penggiat seni dan juga media antarabangsa. Filem TDL juga telah membuat penampilan sulung di pasaran filem antarabangsa iaitu di American Film Market, Santa Monica bulan lalu. 

 

Bagi pengarah filem TDL Nik Amir, selepas menghasilkan filem pertama KIL, beliau mengimpikan untuk melahirkan sebuah filem yang lebih dekat dengan jiwanya. “Saya ingin terus membikin filem dengan subjek yang dekat dengan jiwa saya. Keinginan saya untuk memaparkan budaya Malaysia di layar perak terus membuak-buak selepas saya mengarah filem pertama saya, KIL. 

 

Dalam usaha saya merealisasikan filem 'Terbaik Dari Langit', saya menyingkap kembali semangat setia kawan yang saya rasai ketika saya membesar di sebuah sekolah berasrama penuh dan bagaimana semangat ini telah tersemat di dalam diri saya. Saya selitkan kegelisahan yang saya alami dalam menghadapi tekanan masyarakat sekeliling. Saya suapkan lapar dan dahaga saya untuk terus menyumbang di dalam industri perfileman negara.” 

 

Najwa Abu Bakar selaku Ketua Astro Shaw mengharapkan agar TDL menjadi penutup tahun 2014 yang positif buat Astro Shaw selepas berjaya melakar kejayaan luar biasa melalui filem-filem yang diterbitkan di sepanjang tahun ini. "2014 tahun yang agak sukar dari segi kutipan filem-filem tempatan. Namun legasi penerbitan filem yang telah dibina selama lebih 18 tahun ini menjadi pemangkin untuk terus menerbitkan filem pelbagai genre termasuk TDL.” Menurutnya lagi, beliau yakin filem TDL mempunyai pengikut yang tersendiri apabila ia telah lama diwar-warkan di media sosial malah menjadi perhatian peggiat dalam dan luar negara. Beliau juga berharap agar TDL bukan sahaja berjaya di pawagam Malaysia malah mendapat tempat di festival antarabangsa sekaligus meletakkan aras baru filem Malaysia di pentas dunia. 

 

“Pihak Astro Shaw juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua media cetak dan elektronik yang selama ini menyokong filem-filem terbitan Astro Shaw. Harapan kami agar hubungan baik ini berterusan bagi tahun-tahun yang akan datang untuk kepentingan perkembangan industri perfileman Malaysia,” ujar beliau mengakhiri perbualan. 

 

Manakala Tuan Faisal Azmy, penerbit dari Playground Productions menyifatkan TDL membuka jalan buat mereka untuk terus berjuang dan berkarya. Harapannya adalah agar TDL akan turut membuka jalan agar peluang dapat diberi kepada lebih ramai pengarah baru yang berbakat. . Bagi beliau, TDL merupakan langkah kecil pertama untuk mewujudkan kumpulan penonton yang benar-benar dapat menghayati sebuah karya yang dihasilkan untuk skrin yang besar.Beliau juga berharap agar dapat diberi peluang lagi untuk terus menerbitkan karya-karya yang bersifat jujur sambil terus mencabar Playground Productions untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu tinggi. 

 

Astro Shaw menjadikan 2014 sebagai tahun yang terus memekarkan portfolio perfileman tanah air. Selepas filem “The Journey” yang muncul sebagai Kutipan Filem Tertinggi di Malaysia, Astro Shaw muncul dengan filem Tamil kedua, “Maindhan” pada Ogos lalu sekaligus mencatat sejarah sebagai Filem Tamil Tempatan meraih kutipan tertinggi di negara ini menandingi “Appalam” yang memegang rekod itu sejak hampir tiga tahun lalu. Filem arahan C. Kumaresan itu melakar kejayaan apabila berjaya menembusi pasaran India dan Singapura. 

 

Selepas Manisnya Cinta Di Cappadocia yang ditayangkan di seluruh pawagam tanah air sejak 11 Disember, Astro Shaw kini muncul dengan buah tangan terbaru, “Terbaik Dari Langit” hasil garapan pengarah terbaik FFM26, Nik Amir Mustapha. Tirai 2015 bakal dibuka oleh Astro Shaw dengan tayangan sebuah filem romantik lakonan mantap Aaron Aziz dan Lisa Surihani, “Suamiku Encik Perfect 10”. Filem yang memulakan tayangan bermula 22 Januari 2015 ini merupakan filem usahasama di antara Astro Shaw dan Global Station. 

 

Berikut adalah Trivia #TerbaikDariLangit buat pengetahuan semua peminat industri perfileman tempatan: 

 

  1. #TerbaikDariLagi telah diselitkan salah satu babak filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad. 
  2. Salah seorang pelakon, Megat Sharizal (Ali) telah menurunkan berat badan sebanyak 15kg demi menjayakan watak Ali. 
  3. Realitinya, Sharifah Amani (Sara) tidak pandai memandu kereta. Seluruh produksi agak kelam kabut apabila Sara melakonkan babak memandu kereta walaupun sejauh 0.5 meter.
  4. Babak pembukaan telah diulang penggambaran dan dibuat di kawasan tempat letak kenderaan sebelah rumah pengarah filem #TerbaikDariLangit 
  5. “Pelakon” lembu yang dibawakan khas dalam filem #TerbaikDariLangit bernama Kelabu dan diberikan nama glamor Grey. 
  6. Lokasi penggambaran filem #TerbaikDariLangit telah dilakukan di kawasan kering sehingga suhunya mencecah 38 Celcius. 
  7. Allahyarham Seniman Datuk Aziz Satar turut membuat penampilan khas dalam #TerbaikDariLangit. 
  8. Lokasi "Lek Garden" telah diubahsuai oleh produksi untuk menjadikan ia kelihatan seperti rumah pelacuran yang sebenar. 
  9. Lokasi Sekolah Sultan Yussuf, Perak merupakan sekolah asal YTAM Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang telah mangkat pada 28 Mei yang lalu (check nama gelaran) 
  10. Judul #TerbaikDariLangit yang diguna pakai untuk pasaran antarabangsa ialah NOVA.
top