Astro Shaw

Press Release
Filem Suamiku, Encik Perfect 10! Pembuka Tirai 2015

13 January 2015

Filem Suamiku, Encik Perfect 10! Pembuka Tirai 2015

Kuala Lumpur, 13 Januari 2015 – Bagi membuka tirai tahun 2015, Astro Shaw dan Global Station bakal menampilkan sebuah filem terbaru berjudul ‘SUAMIKU, ENCIK PERFECT 10!’ (“SEP10”) yang akan menemui para penonton di layar perak pada 22 Januari 2015. Satu majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media diadakan di Golden Screen Cinema (GSC), Pavillion, Kuala Lumpur yang telah dihadiri oleh ramai penggiat industri perfileman tanah air selain selebriti terkenal. 

 

Filem yang diadaptasi dari novel ‘Suamiku, Encik Perfect 10!’ ini telah mendapat sentuhan dari pengarah berkaliber, Mohamed Feroz Abdul Kader, dan nukilan skripnya pula oleh PGR’s Team, Sako Jr dan Chinta Nadeesha. Kemunculan filem bergenre romantik drama ini menggabungkan barisan pelakon mantap seperti Aaron Aziz, Lisa Surihani, Syazwan Zulkifly, Raja Ilya, Normah Damanhuri, Jasmin Hamid dan Jehan Miskin. 

 

Filem ini merupakan gandingan kedua Aaron Aziz dan Lisa Surihani, selepas filem blokbuster, “Ombak Rindu” yang ditayangkan pada tahun 2011 dan juga menamatkan penantian buat peminat Aaron Aziz yang merindukan lakonan beliau dalam filem bergenre romantis di layar perak. 

 

Padat dengan lakonan mantap dan dendangan lagu yang cukup merdu, filem ini dijangka dapat menghilangkan dahaga penonton tempatan yang merindukan filem romantis lagi membelai jiwa. Sebuah lagu gandingan hebat Dato’ Siti Nurhaliza dan penyanyi dari seberang, Cakra Khan bertajuk “Seluruh Cinta” telah dipilih menjadi lagu tema filem SEP10. Selain itu, lagu ciptaan Aepul Roza dan nyanyian Drama Band, “Cubaan” turut mewarnai filem romantis ini sebagai latar muzik bagi beberapa babak. 

 

Bagi pengarah filem SEP10, Mohammed Feroz Abdul Kader, beliau bersyukur dengan kepercayaan dan peluang yang diberikan oleh Astro Shaw dan Global Station untuk berkarya bagi layar lebar. “Meskipun karya saya lebih dikenali menerusi kaca televisyen, namun saya cuba menampilkan kelainan dalam filem pertama saya ini. Saya telah lakukan yang terhabis baik untuk filem ini dan harapan saya agar ia diterima oleh penggemar dan pengkritik filem di luar sana.“ 

 

Najwa Abu Bakar selaku Ketua Astro Shaw mengharapkan agar SEP10 menjadi pembuka tirai tahun 2015 yang positif buat Astro Shaw. “Mempelopori adaptasi novel ke filem menerusi Ombak Rindu dan trilogi Lagenda Budak Setan yang mendapat sambutan hangat daripada peminat filem tempatan, kami berharap SEP10 turut memberikan impak yang sama kepada peminat filem romantis. Kami berharap agar penonton boleh menerima filem SEP10 ini dan akan memberi sokongan yang menyeluruh serta membawa penonton kembali ke pawagam. Bagi kami, sokongan penonton terhadap filem tempatan amat penting dalam usaha memastikan filem Melayu terus ‘bernafas’”. Menurutnya lagi, beliau yakin filem SEP10 mempunyai pengikut yang tersendiri apabila ia telah lama diwar-warkan di media sosial selain jalan ceritanya yang mudah diikuti oleh semua lapisan penonton.

 

“Pihak Astro Shaw juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua media cetak dan elektronik yang selama ini menyokong filem-filem terbitan Astro Shaw. Harapan kami agar hubungan baik ini berterusan bagi tahun-tahun yang akan datang untuk kepentingan perkembangan industri perfileman Malaysia,” ujar beliau mengakhiri perbualan. 

 

Bagi Penerbit Eksekutif Global Station, Datin Zaiton Muhd Jiwa menyifatkan SEP10 merupakan antara karya yang paling mereka sukai. “Pemilihan Aaron Aziz dan Lisa Surihani sebagai tunjang utama filem ini adalah kerana kepercayaan saya terhadap bakat mereka serta mampu menarik perhatian penonton untuk ke pawagam. Saya cukup yakin dengan SEP10 kerana intipati yang amat dekat dengan hati dan jiwa kita. Elemen kasih, cinta dan rindu adalah perkara yang sentiasa ada dalam diri kita,” ujar Datin Zaiton dengan penuh harapan. 

 

Menurut beliau lagi, SEP10 tidak akan mengecewakan penonton kerana mutu lakonan semua pelakon terlibat adalah yang terbaik untuk filem romantis ini. Penonton pasti terbuai dengan adegan-adegan yang cukup membuai perasaan mereka. 

 

Selepas SEP10, Astro Shaw bakal muncul dengan sebuah filem adiwira bergenre aksi komedi iaitu “Cicakman 3” yang menampilkan Zizan Razak dan Lisa Surihani sebagai watak utama. Filem yang akan memulakan tayangan bermula 12 Mac 2015 ini merupakan filem usahasama di antara Astro Shaw, KRU Studios dan Grand Brilliance. Menyusul adalah filem hasil karya pengarah hebat, Osman Ali menerusi Pilot Cafe yang akan mula ditayangkan di pawagam pada 9 April 2015. 

 

Sementara Global Station terus mengatur langkah menerbitkan filem terbaru berjudul Kau Yang Satu. Penggambaran akan bagi filem arahan Osman Ali ini akan bermula pada Februari 2015. 

 

Untuk maklumat lanjut, serta info dan gambar eksklusif di balik tabir filem ini, sila layari www.facebook.com/AstroShaw atau follow @AstroShaw di Twitter dan Instagram rasmi kami. 

 

Berikut adalah Trivia filem ‘Suamiku, Encik Perfect 10!’ buat pengetahuan semua peminat industri perfileman tempatan: 

 

  • Selepas membuat kemunculan kali pertama dalam filem pecah panggung pada tahun 2011 menerusi filem Ombak Rindu, kini Aaron Aziz dan Lisa Surihani tampil kembali bergandingan di mana masing-masing mendukung watak utama dan ini belum pernah disaksikan oleh penonton Malaysia. 

  • Menggunakan hashtag #Perfect10Ku sebagai promosi filem di media sosial selain #SEP10. 

  • Menggunakan khidmat penyanyi tersohor negara, Dato’ Siti Nurhaliza dan penyanyi Indonesia yang semakin meningkat naik, Cakra Khan untuk lagu tema berjudul “Seluruh Cinta”.

  • Menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik seperti London, Alor Setar, Sungai Petani, Ipoh dan Lembah Klang. 

  • Filem pertama arahan Feroz Kader selepas kejayaan beliau dalam menghasilkan drama-drama hebat di kaca televisyen seperti drama Astro Mustika HD, Adam dan Hawa. 

  • Aaron Aziz dikenali sebagai ‘Hero Romantik’ manakala Lisa Surihani digelar sebagai ‘Dewi Hati’ oleh peminat dan penonton filem tempatan.

top