Astro Shaw

Press News
Astro Shaw lancar tiga runut bunyi filem

29 October 2014

Astro Shaw lancar tiga runut bunyi filem

KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Astro Shaw Sdn. Bhd. melakar sejarah tersendiri apabila buat kali pertama melibatkan kolaborasi bersama pusat karaoke terkenal, Red Box atas platform mempromosi runut bunyi untuk tiga buah filem terbitan baharu mereka – Mana Mau Lari menerusi lagu “Berlari Ke Awan” nyanyian The Tick, Manisnya Cinta Di Cappadocia dengan lagu “Semanis Cinta” daripada 6ixth Sense dan Terbaik Dari Langit melalui “Sahabat” dendangan Pitahati yang bakal bertandang di layar lebar tidak lama lagi. Sempena kemunculan filem-filem itu, Astro Shaw dengan kerjasama Red Box juga melancarkan siri promosi sepanjang musim cuti sekolah bermula November ini dengan menyediakan pelbagai tawaran seperti beberapa peraduan di laman sesawang Red Box bagi memenangi pas filem percuma dan juga barangan eksklusif dari Astro Shaw. 

 

Bercerita lebih lanjut tentang usahasama itu, Pengurus Besar Astro Shaw, Gayatri Su-Lin Pillai memberitahu, pihaknya cukup teruja apabila meraih peluang keemasan daripada Red Box bagi mempromosi runut bunyi ketiga-tiga filem terbitan mereka sekaligus membentangkan akses mudah kepada khalayak di luar sana terutama penggemar karaoke untuk mengenali dengan lebih dekat lagu Berlari Ke Awan, Semanis Cinta dan Sahabat “Sebelum ini Astro Shaw pernah diberi peluang oleh Red Box untuk mempromosikan lagu tema filem-filem terbitan Astro Shaw di platform mereka. Pihak kami amat berterima kasih di atas kesudian Red Box membuka ruang buat penerbit filem seperti kami untuk mempromosikan produk yang kami ada,” kata Gayatri ketika ditemui pada majlis pelancaran tiga runut bunyi itu di Red Box, The Gardens di sini hari ini. Mana Mau Lari yang digarap oleh Dato’ Profesor A. Razak Mohaideen di bawah bumbung produksi Lineclear Motion Pictures Sdn. Bhd. itu bakal ditayangkan pada 27 November ini dengan menampilkan gabungan para pelakon komedi - Tauke Raja Lawak sebagai Abang Pen, Shuk Balas (Kapten), Yassin (King), Aliff Yasraff (Kyo) dan Saiful Apek (TJ). Filem ini mengangkat perihal sekumpulan penunggang motorsikal berkuasa besar, Harley Davidson yang melalui satu perjalanan penuh cabaran selain menduga keberanian dan persahabatan di antara satu sama lain. Filem Mana Mau Lari yang mempertaruhkan lagu Berlari Ke Awan itu dinyanyikan oleh The Tick, sebuah kumpulan anak muda yang baru dengan melodi oleh Shid dan liriknya hasil nukilan Daddy Cool.

 

Sementara itu, Manisnya Cinta Di Cappadocia yang menjunjung nafas konflik cinta ditunjangi oleh Nur Fazura yang memegang peranan sebagai Ifti, Shaheizy Sam (Nazmi), Lisa Surihani (Izalea) dan Rafidah Abdullah (Dhivia). Tidak hanya itu, filem ini juga mempersembahkan deretan undangan istimewa - Faizal Hussein, Fauziah Ahmad Daud, Zaibo, Eja, Normah Damanhuri, Dian P. Ramlee, Aida Khalida, Eirma Fatima, Josiah Hogan, Mustapha Kamal, Susan Lankester, Zoey Rahman dan Fattah Amin.

 

Runut bunyi filem ini yang bertajuk Semanis Cinta dihasilkan secara keseluruhan oleh Adi Priyo Sambodo dan dinyanyikan oleh 6ixth Sense. Filem Manisnya Cinta Di Cappadocia yang merupakan terbitan bersama Global Stations, Astro Shaw dan Red Films di bawah garapan Bernard Chauly itu bakal bertandang di seluruh pawagam tanah air pada 11 Disember ini.

 

Dan tidak ketinggalan, filem Terbaik Dari Langit berdurasi 106 minit yang diarahkan oleh Nik Amir Mustapha itu bakal dilancarkan pada 25 Disember ini. Diterbitkan oleh Playground Film dan Astro Shaw, filem bergenre komedi fiksyen sains itu dibintangi Bront Palarae, Iedil Putra, Megat Sharizal, Amerul Affendi, Nadiya Nisaa’, Sharifah Amani dan Siti Saleha.

 

Runut bunyi Terbaik Dari Langit yang berjudul Sahabat itu merupakan hasil nukilan total oleh Pitahati.

 

Tiada yang lebih membanggakan apabila filem Terbaik Dari Langit berjaya dipertandingkan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo bagi kategori Asian Future sekaligus mendapat tayangan perdana dunia di sana kelmarin dengan menggunakan judul berbahasa inggeris, Nova di pentas antarabangsa. 

 

Terunggul dalam usaha menerbitkan variasi filem berkualiti, Astro Shaw menjadikan 2014 sebagai tahun yang terus memekarkan portfolio penerbitan filem tanah air. Selepas filem The Journey yang muncul sebagai Kutipan Filem Tertinggi di Malaysia, Astro Shaw muncul dengan dengan filem Tamil kedua, Maindhan pada Ogos lalu sekali gus mencatat sejarah sebagai Filem Tamil Tempatan meraih kutipan tertinggi di negara ini menandingi Appalam yang memegang rekod itu sejak hampir tiga tahun lalu. Filem arahan C. Kumaresan itu melakar kesuksesan apabila berhasil menembusi pasaran India dan Singapura. 

 

Sebagai informasi tambahan, Astro Shaw sedang dalam proses menjalani penggambaran filem terbaru, Langit Cinta garapan oleh Osman Ali yang menampilkan paduan mantap Nur Fazura dan Keith Foo. Tidak dilupakan, filem yang bakal menghabiskan penggambarannya adalah Polis Evo mempertemukan Zizan Razak dan Shaheizy Sam sebagai tunjang utama.

 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai filem-filem keluaran Astro Shaw terutama tiga runut bunyi itu, peminat boleh melawati laman sesawang www.facebook.com/AstroShaw atau www.youtube.com/AstroShaw tidak lama lagi.

top
123movies