Astro Shaw

Press Release
Mana Mau Lari Bakal Menggegar Pawagam

2 December 2014

Mana Mau Lari Bakal Menggegar Pawagam

Petaling Jaya – Nafas komedi yang dipersembahkan ke layar lebar nampaknya terus meraih tumpuan banyak pihak terutama pembikin filem dan apatah lagi ia mudah diterima oleh penonton. Sebagai kesinambungan situasi itu, Astro Shaw di bawah penerbitan Tayangan Unggul menjalin kerjasama dengan rumah produksi terkenal, Lineclear Motion Pictures Sdn. Bhd. menerusi filem berjudul Mana Mau Lari (MML). Selepas dua tahun tanpa filem terbaru kerana terlalu sibuk dengan tanggungjawab beliau sebagai dekan dan pensyarah di UiTM, Dato’ Prof. A. Razak Mohaideen yang berpengalaman menggarap lebih daripada 34 buah filem kini muncul membawa MML ke layar perak. MML dijangka menjadi naskhah Dato Prof. A. Razak yang berjaya kerana kredibiliti beliau dalam menghasilkan filem-filem komedi. Beliau merupakan antara pengarah prolifik bagi filem-filem komedi sekaligus menjadi sandaran utama Tayangan Unggul dalam menjalin usahasama dengan produksi Line Clear bagi penerbitan filem MML ini. 

 

MML yang bakal menggeletek hati penonton bermula 27 November ini menampilkan gabungan para pelakon komedi - Tauke Raja Lawak sebagai Abang Pen, Shuk SYJ (Kapten), Yassin (King), Aliff Yasraff (Kyo) dan penampilan istimewa Saiful Apek sebagai TJ. Filem ini membawa interpretasi sekumpulan penunggang motorsikal berkuasa besar Harley Davidson melalui satu perjalanan yang akan menduga keberanian dan persahabatan di antara satu sama lain. Variasi rasa – pelik, lucu dan ngeri dipertontonkan dalam filem berformat definisi tinggi itu sekaligus menjadi taruhan utama Dato’ Prof. Razak. Turut mewarnai layar MML ialah pelakon berkaliber serta serba boleh seperti Delimawati, Dira Abu Zahar, Sathiya, Abu Bakar Omar, Tania Hudson, Ruminah Sidek, Ropie Cecupak, Ezzaty Abdullah dan Zahrin. Tayangan Unggul cukup berkeyakinan dalam menerbitkan MML dengan formula menggabungkan pelakon komedi daripada pelbagai generasi atas faktor keupayaan dan keserasian mereka dalam menjiwai karakter masing-masing yang boleh meninggalkan kesan kepada penonton. Apa yang lebih unik tentang filem MML ini, idea asal dan skripnya adalah datang daripada novelis terkenal tanah air, Ahadiat Akashah. Ahadiat yang popular dengan trilogi Lagenda Budak Setan merupakan penunggang motorsikal berkuasa tinggi Harley Davidson. Idea MML muncul melalui pengalaman beliau yang sering mengikuti konvoi geng Harley Davidson ke serata tempat. Pengalaman-pengalaman itulah yang diterjemahkan oleh beliau ke dalam naskhah skrip Mana Mau Lari yang mana mempunyai pelbagai elemen terutamanya komedi dan seram. 

 

Bercakap lebih lanjut tentang MML, Dato’ Prof. Razak memberitahu, kemunculan filem ini agak lama memandangkan beliau agak sibuk menyiapkan kajian Pengajian PhD beliau yang baru disiapkan serta kesibukan beliau sebagai Dekan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi. Mengenai MML, beliau berkata, filem ini berkonsepkan santai dengan menjadikan genre campuran komedi dan seram komedi. Ianya membawa perjalanan dan pengalaman penonton sebagai asas kepada elemen feel good. Asas road movie ini akan membawa penonton kepada satu pengalaman yang menyeronokkan. 

 

Menurut Dato Prof. Razak, beliau melihat kemunculan filem kombinasi komedi dan seram sering memenuhi cita rasa penonton dan ini menjadi asas kepada penghasilan filem MML. Bagi yang bakal menyaksikan filem ini, kata beliau, mereka akan meninggalkan pawagam dengan perasaan dan pengalaman yang berbeza dan pasti terhibur. 

 

Sementara itu, Pengurus Besar dan Penerbit Eksekutif Astro Shaw, Gayatri Su-lin Pillai, menjelaskan, kerjasama di antara Lineclear dan Tayangan Unggul sebagai usahasama yang bakal menyuntik elemen komedi cara Dato’ Prof. Razak. “Umum mengetahui beliau mempunyai formula semula jadi untuk menjadikan komedi beliau digemari oleh semua lapisan masyarakat dan sering sahaja pecah panggung, Kami yakin hasil kerjasama ini dan tarikan para pelakon komedi terbaik tanahair akan berjaya menarik peminat-peminat filem tempatan untuk ke panggung. Gayatri juga menekankan, ini adalah kali pertama Tayangan Unggul bekerjasama dengan produksi Lineclear Motion Pictures yang mana beliau menyifatkan sebagai satu kolaborasi yang baik buat kedua-dua pihak. Kerjasama ini diharapkan dapat menarik minat penonton untuk menyaksikan filem Dato’ Prof. Razak di pawagam memandang sudah dua tahun beliau tidak muncul dengan filem yang baru dan pastinya peminat-peminat beliau telah setia menunggu buah tangan baru dari beliau. 

 

Seperti yang diperhatikan, tahun 2014 memberi kemanisan kepada Astro Shaw apabila satu demi satu kecemerlangan berada dalam genggaman. Setelah kejayaan The Journey yang muncul sebagai Kutipan Filem Tertinggi di Malaysia, Astro Shaw muncul dengan dengan filem Tamil kedua, Maindhan pada Ogos lalu sekali gus mencatat sejarah sebagai Filem Tamil Tempatan yang meraih kutipan paling tinggi di negara ini menandingi Appalam yang berhasil memegang rekod itu sejak hampir tiga tahun lalu. Naskhah garapan C. Kumaresan itu menjadi kebanggaan apabila berjaya menembusi pasaran India dan Singapura. Tidak berakhir di situ, Astro Shaw juga berjaya meraih beberapa anugerah utama di Festival Filem Malaysia ke-26 menerusi filem Penanggal (Pengarah Harapan Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan Terbaik, Sinemotografi Terbaik dan Penata Seni Terbaik), Paper Moon juga berjaya dinobatkan sebagai Filem Bukan Bahasa Melayu Terbaik dan filem Husin, Mon & Jin Pakai Toncit telah menerima Filem Box-Office bagi tahun 2013. Manakala menerusi Anugerah Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2014 The Journey telah diangkat sebagai Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Sinematografi Terbaik dan Fazura menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Kami Histeria. Bermula 15-17 Disember ini, The Journey akan mewakili Malaysia di Festival Filem Asia Pasific ke-57 yang bakal diadakan di Thailand.

 

Astro Shaw kini terus melangkah penuh bangga dalam cabang penerbitan filem biarpun tirai 2014 bakal dinoktahkan tidak lama lagi. Selepas MML, Astro Shaw terus melangkah ke hadapan dengan filem Manisnya Cinta Di Cappadocia garapan Bernard Chauly. Filem romantik komedi kerjasama di antara Global Station dan Red Films ini bakal menyuntik kemanisan cinta kepada penonton bermula 11 Disember 2014. Manakala filem Terbaik Dari Langit hasil sentuhan indah, Nik Amir Mustapha dengan kerjasama Playground Pictures bakal menjadi penutup tirai 2014. Filem yang berjaya mendapat nominasi di Festival Filem Antarabangsa Tokyo 2014 ini akan menemui penonton bermula 25 Disember.

 

Tidak terkecuali, Astro Shaw sedang menjalani penggambaran filem terbaru, berjudul Langit Cinta arahan Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 2010, Osman Ali yang membariskan para pelakon Nur Fazura, Keith Foo, Farid Kamil, Siti Saleha dan Ogy Ahmad Daud. Astro Shaw juga sedang dalam proses penggambaran filem komedi aksi Polis Evo, garapan pengarah muda Ghaz Abu Bakar yang mempersembahkan gandingan mantap Zizan Razak, Shaheizy Sam dan Nora Danish sebagai tunjang utama. Disamping itu, dua buah filem lagi bakal memulakan sesi penggambaran tidak lama lagi ialah 7 Dimensi Aliff dan Histeria 2. Untuk mengetahui informasi lanjut berkaitan filem-filem keluaran Astro Shaw khususnya MML, peminat filem tempatan boleh melayari laman sesawang www.astroawani.com.

top
123movies